Pemandu teksi pulangkan 2kg barang kemas,wang tunai

Seorang pemandu teksi menerima pujian di Thailand apabila dia memulangkan barang kemas seberat dua kilogram dan wang tunai 255,000 baht (RM31,850) yang ditinggalkan pelanggannya.
Withit Duangchumpol, 34, memulangkan beg yang mengandungi barangan berharga itu kepada pelanggannya, Patcharee Sae Lin, 58, pemilik kedai emas, kelmarin. 

Pemandu teksi itu berkata, seorang pelanggan wanita menaiki teksinya pada jam 1.50 pagi dari Saphan Khwai menuju ke kawasan Ratchawong. Menurutnya, apabila pulang ke rumah selepas menghantar wanita itu dia menemui beg hitam tertinggal di dalam teksinya.

“Apabila membuka beg itu, saya terkejut mendapati ia mengandungi barang kemas seberat dua kilogram dan sejumlah wang tunai. “Saya kemudian menghubungi stesen radio Jor Sor 100 bagi membuat pengumuman dan meminta pelanggan datang mengambil begnya,” katanya. 

Sementara itu, Patcharee memberitahu, dia menyedari begnya hilang apabila pulang ke rumah dengan menaiki teksi. “Kerana panik saya membuat laporan polis dan memaklumkan kehilangan itu di stesen radio Jor Sor 100. 

Saya tidak sangka akan menemui beg itu semula,” katanya. Sebagai membalas kejujuran Withit, Patcharee menghadiahkan wang tunai sebanyak 100,000 baht (RM12,481) kepada pemandu teksi itu. 

Patcharee juga menderma 30,000 baht (RM3,744) kepada stesen radio berkenaan bagi membeli kerusi roda untuk golongan yang memerlukan. – Agensi/HMetro
0 Komentar untuk "Pemandu teksi pulangkan 2kg barang kemas,wang tunai"

 
Copyright © 2014 DRAMADUNIA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info